Salam.
Lama saya tak update blog. Kebelakangan ni, ada satu dilema dalam diri yang menyebabkan saya rasa malas menulis iaitu:
Saya kurang membaca (baca: saya malas membaca)
Jadi apa kaitannya antara membaca dan menulis? Kata Pak Samad,
"Jika ingin menjadi seorang penulis pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga, membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.”
Keduanya, kata ustaz Hasrizal,
“Buku ringan mestilah ditulis oleh pembaca buku berat. Apabila buku ringan ditulis oleh pembaca buku ringan, yang ringan-ringan itu akhirnya menjadi SAMPAH!”
Dan yang ketiganya, artikel ini. Sedikit petikan daripadanya,
“Antara faktor kematangan adalah membaca. Remaja yang kurang membaca akan menjadi amat sempit pemikirannya, dan tidak terbuka. Sekaligus ilmunya tidak bertambah, dan dia tidak mengalami peningkatan pada cara berfikirnya.”
Saya tidak berhasrat ingin menjadi penulis. Cuma, apa yang saya ingin sampaikan ialah, untuk menulis kena ada ilmu. Tak kiralah samada melalui pembacaan, ceramah, pemerhatian dan lain-lain. Dan apa yang ditulis itu, hendaklah orang lain dapat manfaat daripadanya.
Daripada pemerhatian peribadi, saya dapati orang yang membaca ini, lain pemikirannya. Mereka ini lebih dilihat lebih terbuka dan banyak berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara. Bahan bacaan juga perlu diambil kira. Saya tak nafikan, baca buku berat memang susah sebab perlu ada minat dan kesungguhan yang mendalam. Tambahan pula, kalau buku yang dibaca itu bukan bidang kita. Tetapi, apa-apapun, tetap kena ada usaha.
Harapnya, selepas ini, saya akan lebih rajin membaca Doakan!