Pages

Oct 24, 2015

Bahagian 4- Rome: Bandar Kristian Katolik

Seperti perjalanan pergi, perjalanan balik dari Catania mengambil masa selama 55 minit. Pesawat Ryan Air mendarat di Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci- Fiumicino pada jam 5 petang. Rome ialah destinasi terakhir jalan-jalan kami pada kali ini. Menurut lagenda, Rome diasaskan pada tahun 753 sebelum masihi oleh Romulus. Dia mempunyai seorang kembar iaitu Remus. Mereka dijaga oleh seekor serigala betina setelah diabaikan oleh ibu bapa. Romulus telah membunuh kembarnya, Remus setelah mereka bergaduh tentang lokasi kota yang akan dibuka mereka. Dia kemudian menamakan kota itu Rome sempena namanya.

Gambar 1 Remus, Romulus dan Serigala

Kami hanya mempunyai sehari setengah di bandar ini sebelum pulang ke Kaherah. Tema lawatan ke bandar ini ialah Rome purba dan Rome kristian. Tidak lupa juga kami ingin pergi ke Masjid Besar Rome. Destinasi pertama kami ialah Vatican City, iaitu sebuah negara terkecil di dunia yang diketuai Pope sebagai ketua agama Kristian katolik. Untuk ke sini, cara yang paling mudah adalah dengan menaiki Metro dan turun di Ottaviano. Di sini ada tiga tarikan iaitu St. Peter’s Basillica, muzium Vatican dan medan St. Peter. St. Peter’s Basillica ialah satu contoh gereja senibina zaman Renaissance. Antara arkiteknya ialah Michelangelo. Menurut tradisi Katolik, gereja ini ialah tempat St. Peter dikebumikan setelah dibunuh dengan cara disalib terbalik. Beliau ialah seorang daripada 12 pengikut Jesus dan juga Pope yang pertama. 

Gambar 2: Berlatarbelakangkan St Peter's Basillica
Kemudian, kami menuju ke muzium Vatican melalui medan St. Peter. Biasanya orang berkumpul di medan ini untuk mendengar amanat daripada Pope. Muzium Vatican terletak tidak jauh daripada St. Peter’s Basillica. Di sini terdapat pelbagai koleksi barangan yang pernah dimiliki oleh Pope terdahulu sepanjang abad seperti lukisan-lukisan dan ukiran-ukiran. Kami sedikit kecewa kerana kami fikirkan yang muzium ini ada menceritakan tentang agama kristian dan Jesus daripada sudut padang Kristian Katolik, namun pameran yang ada di sini tidaklah seperti yang kami bayangkan.

Destinasi kami seterusnya ialah Masjid Rome. Masjid ini merupakan masjid pertama di Rome dan antara masjid terbesar di Eropah. Untuk ke sini kami menaiki Metro ke stesen Flaminio dan kemudiannya menukar keretapi urban dan turun di Campi Sportivi. Mempunyai masjid di bandar Kristian Katolik merupakan sesuatu yang mengagumkan kerana usaha untuk mendapatkan keizinan bukannya mudah. Apabila idea untuk membina masjid di Rome mula-mula muncul lebih kurang lima dekad yang lalu, Benito Mussolini dilaporkan mengatakan tidak. Masjid hanya akan ada di Rome apabila gereja Roman Katolik diizinkan untuk dibina di tanah suci Makkah. Namun pada tahun 1970, kerajaan Itali memberikan keizinan untuk membina masjid setelah mendapat persetujuan gereja. Dana untuk pembinaan masjid ini disumbangkan oleh negara-negara islam lain yang diketuai oleh Raja Faisal Arab Saudi. 

Figure 3 Masjid Rome

Tiada siapa tahu secara tepat bilangan orang Islam di Rome khususnya dan Itali umumnya namun dianggarkan bilangan mereka ialah seramai 40 000 di Rome dan 300 000 di Itali. Angka ini sangatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Itali seramai 57 juta orang. Kami ke sini untuk menunaikan solat secara jamak setelah puas solat di celahan jalan dan atas tangga sebelum ini. Di luar masjid ini juga ada jualan seperti pasar minggu di Malaysia. Terdapat pelbagai jenis makanan dan manisan yang dijual. Hal ini memberikan gambaran kepada kami bahawa komuniti Islam di sini tetap subur walaupun berada di negara Eropah.

Rome bukanlah destinasi untuk membeli belah kalau hendak dibandingkan dengan bandar fesyen Milan. Tapi barangan yang ada dijual di sini tidak kurang menariknya. ‘Shopping street’ yang menjadi pilihan kami ialah Via del Corso. Persinggahan di sini adalah untuk membeli sedikit barangan keperluan yang diidamkan seperti kasut dan jaket. Hari pertama kami berakhir di sini. Tidak lengkap datang ke Rome kalau tidak berkunjung ke Colloseum. Hari kedua dihabiskan di tempat ini. Untuk ke sini, antara caranya adalah dengan menaiki Metro dan turun di stesen Colosseo. Tapi kami lebih selesa berjalan kaki dari tempat penginapan kami yang terletak di sekitar stesen Metro Vittorio Emanuelle. Colloseum merupakan satu daripada tujuh keagungan dunia moden dan juga antara monumen yang sering dikunjungi oleh orang ramai dari serata dunia. Tempat ini mempunyai 50 000 tempat duduk dan merupakan tempat untuk menyaksikan Gladiator bertarung ataupun pertarungan antara haiwan dan juga pertarungan antara haiwan dan tahanan. Kami tidak masuk ke dalam kerana masa tidak mengizinkan. Kami harus menjaga masa kerana akan pulang ke Kaherah pada petang itu. Berdekatan dengan Colloseum juga terdapat dua lagi tinggalan Rom kuno iaitu Bukit Palatine dan Roman Forum. Roman Forum merupakan tempat kegiatan jual beli berlangsung dan juga pusat perbicaraan bagi bandar Rom kuno. Tiket untuk masuk ke tiga-tiga tempat ini ialah 12 Euro.

Figure 4 Colloseum


Dengan berakhirnya tempat terakhir tersebut, maka berakhirlah jaulah mahabbah selama 10 hari ke Munich, Salzburg, Venice, Catania dan Rome. Harapannya ialah dengan aktiviti jaulah bersama-sama ini dapat mengajar kami akan beberapa nilai baik yang boleh diambil sebagai pedoman dan pengajaran hidup. Juga semoga dengan jaulah ini, kami lebih dapat mengenali masing-masing dengan lebih baik.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...